Tuesday, January 4, 2011

Pengerusi Surau Semakin Pulih

Pengerusi surau Nur Al Syura, Mahyuddin Kassim, semakin pulih dan kini mulai datang ke surau. Beliau mengalami kecederaan dengan keremukan di bahagian kedua-dua belah tapak kaki setelah terjatuh ketika melakukan aktiviti pembersihan surau beberapa hari sebelum puasa tahun lalu. Kedua-dua tapak kaki beliau telah dimasukkan besi melalui pembedahan kecil di Hospital Selayang. Beliau masih bertongkat dan solat menggunakan kerusi. Begitu juga dengan Hj Ismail Kasim (Jln 4/7 Fasa 2B) juga sudah keluar dari Hospital dan mulai datang ke surau. Beliau mengalami serangan sakit jantung dan telah dimasukan ke Hospital Selayang untuk beberapa hari. Walaubagaimanapun penyakit beliau memerlukan rawatan selanjutnya di IJN. Semoga Allah mempercepatkan kesembuhan mereka. Ameen

Monday, January 3, 2011

Papan Tanda Surau Nur Al Syura

Papan tanda ini terletak di tepi jalan di luar pintu pagar surau. Di depannya ada taman permainan tempat para remaja bermain bola sepak. Ia juga digunakan sebagai tempat melakukan korban penyembelihan di hari raya Aidul Adha


 

Sunday, December 12, 2010

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH

Lujnah Muslimat Surau Nur Al Syura akan mengadakan kursus jenazah untuk wanita mengikut butiran berikut:
Tarikh: Sabtu  18/12/2010
Tempat: Surau Nur Al Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B
Masa: 9.00 pagi
Peserta: Terbuka kepada semua wanita
Pengendali: Ustazah Hajjah Syarifah

Saturday, December 11, 2010

Kuliah Maghrib Ustaz Ahmad Awang

Ustaz Ahmad Awang telah menyampaikan kuliah maghrib pada 11/12/2010 di Surau Nur Al Syura. Ustaz menyentuh topik tentang Hijrah bersempena tahun baru Hijrah. Ustaz mengajak muslimin dan muslimat menghayati Hijrah dengan konsepnya yang sebenar. Iaitu berhijrah kepada penghayatan Islam lahir dan batin. Ustaz menegur sikap pihak-pihak yang tertentu yang hanya mementingkan penghayatan Hijrah dari satu sujud sahaja. Ustaz juga menyarankan bersempenaan dengan tahun baru Hijrah ini agar umat Islam  menjadikan takwin rasmi berdasarkan takwin hijrah dan bukan lagi takwin masihi kerana ia merupakan simbol kesatuan umat Islam. Sememangnya apabila Al-Quran menyebut tentang perkiraan bulan atau tahun maka ia merujuk kepada perkiraan kalendar lunar dan bukannya perkiraan solar. Memperjuangkan cuti minggu pada hari Jumaat adalah suatu yang penting ujar Ustaz kerana cuti hari Ahad sebenarnya ada kaitan dengan masalah agama. Sunday  sebenarnya hari mulia orang-orang Roman yang memuja matahari. Kemudian ia digunakan oleh pihak gereja semata-mata untuk tujuan dakyah kristian untuk mengkristiankan orang-orang Rom yang masih berkerpecayaan paganism dengan menyerapkan amalan agama mereka ke dalam tata kehidupan masyarakat kristian. Ustaz juga menyarankan agar tokoh Maal Hijrah yang dipilih mestilah mempertimbangkan nilai akhlak Islam berserta dengan sumbangan diberikan kepada masyarakat. Ustaz meluahkan rasa hairan beliau tentang pemilihan tokoh Maal Hijrah tahun ini kerana menurut Ustaz tokoh itu tidak memenuhi dua kriteria tersebut.Untuk kefahaman tentang Hijrah Ustaz mengajaka para hadirin agar meneliti tafsiran ayat 30 Surah Al Anfal dan ayat 40 daripada surah Al Taubah.

Thursday, December 9, 2010

Lokasi Surau Nur Al Syura

Surau Nur Al Syura terletak berdekatan dengan kampung Bendahara Jalan Sungai Tua menghala ke Hulu Yam. Iaitu kira-kira 5km daripada Kuil Batu Caves. Di dalam peta google ia diletakkan berdekatan dengan Taman Selayang Mulia dengan tanda Surau Nur Al Syura sebagai `surau`.

Tuesday, December 7, 2010

Ucapan Alu-Aluan Pengerusi Surau Nur Al Syura

Assalamualaikum kepada semua ahli jamaah Surau Nur Al Syura.
Saya bagi pihak ahli jawatankuasa pengurusan surau ingin merakamkan perhargaan kami kepada Ustaz Zaharuddin atas usaha beliau dalam menyediakan blog ini. Saya berharap dengan adanya blog ini pihak surau akan dapat mendekati dengan lebih ramai ahli qariah dan memberi satu saluran untuk ahli qariah untuk bertukar-tukar pandangan dalam apa jua urusan yang berkaitan dengan pengurusan surau.
 
Marilah kita sama-sama berusaha untuk mengimarahkan surau kita ini bukan sahaja sebagai tempat kita beribadat sembahyang tapi dalam apa jua aktiviti kemasyarakatan kita, isyaAllah.
Sekian wabillahi taufiq wassalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Mahyuddin Kassim
Pengerusi